Sekolah ini
dibina pada bulan Oktober 1956 secara gotong-royong oleh penduduk sekitarnya.
Bangunan yang berdindingkan papan dan beratap rumbia ini dibuka pada 20 Mei
1957 dengan nama Sekolah Melayu Rinching Hilir. Sebelum ini anak-anak Kampung
Rinching Hilir ini menumpang belajar di Balai Raya Kampung Rinching Hilir dan
ada juga yang bersekolah di SK Bangi yang jauhnya kira-kira 5 km dari sini.
En. Jaafar
Bin Hj Sharif merupakan Guru Besar pertama, sekaligus menjadi tenaga pengajar
kepada murid-murid seramai 41 orang. Melalui mesyuarat pada 13 November 1957,
Lembaga Pengurus Sekolah diwujudkan di mana En. Rabit Bin Idris, Ketua Kampung
Rinching Hilir dipilih menjadi pengerusi dengan 8 orang bapa sebagai ahli
jawatankuasa.
Bagi menampung pertambahan murid, kerajaan telah membeli sebidang tanah berhampiran dan membina sebuah bangunan batu mengandungi 3 bilik darjah dan sebuah pejabat. Bangunan ini dirasmikan oleh YAB Tuan Hj Mustaffa Bin Hj Jabar, Pemangku Menteri Besar Selangor pada 18 Oktober 1961.
Pada Tahun
1967, satu lagi blok bangunan mengandungi 4 buah bilik darjah dibina dan
dituruti oleh pembinaan satu lagi bangunan tambahan dengan 3 buah bilik darjah
dan 4 buah bilik air pada tahun 1986.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan